LAMPIRAN 2

YAQAZAH

Definisi Yaqazah dan Musyafahah

Erti yaqazah pada bahasa ialah jaga, sedar, bukan dalam ke­adaan mimpi, (yaqiza) Aiy mutayaqqizun: Hazirun: jaga, sedar, berjaga-jaga.

– Mukhtarus Sihah, lisy Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al Maktabah Al‘asriyah, Soida, Beirut. (m.s. 349)

Adapun pengertian yaqazah pada istilah perbahasan ilmu tasawuf ialah bertemu atau berjumpa dengan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga (bukan mimpi) dan ia merupakan satu karamah wali-wali Allah.

Erti musyafahah pada bahasa pula ialah berbual-bual antara dua pihak. (Al Musyafahah) Al Mukhatobah min fika ila fihi.
– Mukhtarus Sihah, lisy Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al Maktabah Al‘asriyah, Soida, Beirut. (m.s. 167)

Pada istilah pula ialah berbual-bual dengan roh Rasulullah SAW atau bersoal jawab atas apa-apa kesamaran dalam aga­ma atau menerima amalan-amalan tertentu dari baginda.

Yaqazah adalah satu perkara luar biasa yang mencarik adat. Ia menjadi salah satu sumber kekuatan para ulama yang hak dalam mempertahankan kebenaran. Imam As Sayuti apabila ingin memasukkan sebuah Hadis ke dalam kitab karangannya akan bertanya kepada Rasulullah SAW secara yaqazah: “Adakah Hadis ini daripadamu ya Rasulullah?” Jika Rasulullah SAW membenarkan, barulah beliau merekodkan Hadis tersebut. Begitu juga berlaku kepada ramai auliya Allah.

Ini merupakan satu ‘teknologi’ yang sangat canggih yang tidak mampu dipintas oleh musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Nasrani. Bagaimana mereka ingin memintasnya sedangkan kekuatan mereka setakat memaksimumkan peng­gunaan akal. Akal sampai bila pun tidak akan berjaya menga­lahkan kekuatan roh. Inilah senjata kemenangan ulama-ulama dan para pejuang Islam sepanjang sejarah. Dengan bersung­guh-sungguh mengusahakan taqwa, Allah kurniakan kepada mereka bantuan-bantuan-Nya secara zahir atau rohani. Di antara bantuan-bantuan rohani ialah mimpi yang benar, firasat, kasyaf, hatif dan lain-lain. Bacalah sejarah Tariq bin Ziad, Salehuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh, Mimar Sinan, Imam Al Ghazali, Imam As Sayuti. Kajilah rahsia ke­jayaan mereka.

Hukum Yaqazah

Yaqazah hukumnya harus berlaku pada wali-wali Allah se­bagai kemuliaan (karamah) yang Allah kurniakan kepada mereka. Ia adalah perkara yang mencarik adat (luar dari kebiasaan) pada logik manusia sedangkan ia masih dalam lingkungan mumkinat (harus) bagi Allah mengadakan atau mentiadakannya.

Perlu diketahui perkara yang bersalahan dengan adat boleh dibahagikan kepada empat kategori, berdasarkan di tangan siapa ia terjadi:
1. Mukjizat: berlaku kepada para rasul a.s. sebagai bukti kerasulan mereka untuk mencabar penentang-penentang mereka.
2. Karamah: berlaku kepada kekasih-kekasih Allah (para wali) lambang kemuliaan yang Allah beri kepada mereka.
3. Maunah: berlaku kepada orang-orang mukmin dengan berkat guru atau amalan tertentu yang diistiqamahkan.
4. Sihir: berlaku di tangan orang-orang fasik atau kafir secara istidraj (dalam murka Tuhan).

Dalil Boleh Beryaqazah

Perlu diketahui dan difahami, ada banyak ayat-ayat Al Quran yang memberi isyarat tentang peristiwa yaqazah ini. Kalaulah ia boleh berlaku kepada para rasul a.s. sebagai mukjizat, ia juga boleh berlaku kepada wali-wali Allah sebagai karamah.

Dalil pertama: Pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Nabi Musa a.s.

Ketika Rasulullah SAW dimikrajkan, baginda diperte­mukan dengan Nabi Musa a.s. sedangkan Nabi Musa telah wafat lebih 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Oleh kerana besarnya peristiwa ini maka Allah rakamkan di dalam Al Quran dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Maka janganlah kamu ragu tentang per­temuanmu (dengan Musa ketika mikraj).” (Sajadah: 23)

Dalil kedua: Solat jemaah Nabi SAW dengan para rasul

Nabi Muhammad SAW bersembahyang berjemaah dengan para rasul di malam Israk sebelum baginda dimikrajkan. Firman Allah:
Maksudnya: “Dan tanyalah orang-orang yang Kami utus sebelum kamu (wahai Muhammad) di antara para rasul Kami itu.” (Az Zukhruf: 45)
Di dalam Tafsir Al Qurtubi, juzuk ke-7, ms 5915 tercatat:
“Masalah bertanya kepada anbiya di malam mikraj, Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa para anbiya bersem­bahyang dengan berimamkan Rasulullah SAW dalam tujuh saf. Tiga saf terdiri dari rasul-rasul. Manakala empat saf lagi untuk nabi-nabi. Pertemuan Nabi SAW ini adalah dalam keadaan jaga dan Nabi SAW telah bertanya sesuatu kepada mereka di malam itu.”
Dalil ketiga: Hadis dari Abu Hurairah r.a.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Aku dengar Nabi SAW ber­sabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku di dalam mim­pi, maka dia akan melihatku di dalam ke­adaan jaga dan syaitan tidak boleh menyerupai diriku.” (Sahih Bukhari, juzuk ke-9, m.s. 42)

Pengakuan Ulama Mengenai Yaqazah

Ibnu Arabi dalam kitabnya Fara’idul Fawa’id menulis:
“Adalah harus (khususnya bagi wali Allah yang diberi karamah) untuk bertemu dengan zat Nabi SAW baik rohnya atau jasadnya kerana Rasulullah SAW seperti lain-lain nabi dan rasul, semuanya hidup bila mereka dikembalikan (kepada jasadnya) serta diizinkan oleh Allah keluar dari kuburnya.”

Dalam kitab Al Khasoisul Kubra, Imam As Sayuti dalam Syarah Muslim oleh Imam Nawawi menulis:
“Jikalau seseorang berjumpa Nabi SAW (dalam mimpi atau jaga), baginda menyuruh akan sesuatu perbuatan (sunat), melarang satu larangan, menegah atau menun­jukkan suatu yang baik, maka tiada khilaf ulama bahawa adalah sunat hukumnya mengamalkan perintah itu.”

Pihin Datuk Seri Maharaja Datuk Seri Utama, Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei Darus­salam, mengeluarkan fatwa melalui Pejabat Mufti, Kemen­terian Hal Ehwal Agama, Negara Brunei Darussalam pada 14 Jamadil Awal 1408H, 4 Januari 1988 iaitu:

“Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini bahawa berjumpa dengan Nabi SAW waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan suatu zikir, adalah harus dan boleh, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti itu termasuk di bawah erti­kata fadhailul a’mal.

Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan berhenti wahyu kepada Nabi kita dan dengan wafat Nabi kita SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab berkenaan wali-wali Allah se­perti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf Anbahani dan kitab Lathoiful minan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin Athaillah As Sakandari yang meninggal tahun 709H dan Jami’u Karamatil Auliya karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul Auliya oleh Al Hafiz Abu Naim dan karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mah­mud, Mesir dan lain-lain.”