6.ABUYA ASHAARI MUHAMMAD ADALAH PUTERA BANI TAMIM


Para pemimpin kebenaran yang Tuhan janjikan berjaya membawa kebenaran dan keadilan dalam kepimpinan mereka, mengikut tahap atau peringkat masing-masing. Di bawah kepimpinan dan pemerintahan mereka, Islam berjaya ditegakkan secara syumul. Lantas Allah berikan kejayaan kepada mereka di dunia dan di Akhirat. Faktor bagaimana mereka beroleh kejayaan adalah kerana mereka sangat dibantu oleh Allah SWT. Allah berikan mereka ilmu, kaedah perjuangan, kekuatan kasih sayang, cara memperdaya musuh serta pelbagai karamah lagi.

Firman Allah:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, sesiapa (pe­mimpin) di kalangan kamu yang menyimpang dari aga­ma-Nya akan Allah datangkan satu kaum (pemim­pin) yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya.” (Al Maidah: 54)

Rasulullah SAW pula ada bersabda:

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali k.w. baginda bersabda: “Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu ingin melihat demikian itu hendaklah kamu bersama-sama Pemuda At Tamimi (Putera Bani Tamim). Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi.” (Riwayat At Tabrani)

Bagi membuktikan bahawa Abuya Ashaari Muhammad juga merupakan seorang pemimpin kebenaran yang Tuhan janjikan yakni dialah Putera Bani Tamim, berikut adalah an­tara hujah-hujahnya. Abuya kini sedang giat memper­juang­kan:

1. Minda

Abuya memperjuangkan ilmu yang cukup global. Ilmu-ilmu yang dikeluarkannya membawa manusia kembali mengenali dan mencintai Tuhan, kembali mentaati perintah dan me­ninggal­­kan larangan Tuhan. Daripada mesej iman dan taqwa, ilmu­nya terus merangkumi cara hidup Islam dalam semua aspek dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Ilmu-ilmu yang global inilah yang menjadi asas kepada pem­bangun­an insaniah dan pembangunan material yang di­bangun­kan dalam perjuangannya.

Minda ini diperjuangkan dalam pelbagai bentuk pen­dekatan. Melalui ceramah, majalah, buku-buku, kaset-kaset, video, bergaul mesra dengan semua golongan dengan membawa contoh atau akhlak yang baik, khidmat masyarakat, ziarah, ekonomi, kebudayaan, perkampungan dan bandar contoh, pendidikan, kesihatan, penternakan, teknologi tinggi (hi-tech), ekspo dan lain-lain lagi.

Malahan Abuya membawa jemaahnya melibatkan diri dalam apa sahaja bidang hidup yang diceburi oleh manusia dengan membawa mesej iman dan taqwa serta Islam sebagai cara hidup. Agar manusia dapat melihat ilmu-ilmu Islam yang global itu di dalam realiti kehidupan, bukan sekadar Islam teori semata-mata.

2. Mempersiapkan jemaah ikhwan

Abuya berjuang bagaikan tidak tahu takut dan tidak tahu serik. Sekalipun berhadapan dengan berbagai-bagai ujian dan halangan, beliau tetap tidak mengalah. Sekalipun susahnya bagaikan mengalih sebuah gunung, pasti diusahakannya. Kemahuan hatinya sekeras besi. Cita-citanya pasti dibuktikan walau apa pun risikonya. Sedangkan orangnya sangat lemah lembut serta penuh kasih dan sayang. Peribadi begini atas nama Islam sebenarnya bukanlah perkara biasa. Ia merupakan perkara yang sangat luar biasa.

Peribadi Abuya itu sebenarnya keluar dari hatinya yang begitu cintakan Allah dan Rasul. Sesungguhnya Abuyalah yang berhati ikhwan itu dan dia telah dapat lahirkan jemaah ikhwan yang Rasulullah sebutkan ciri-ciri mereka itu, yakni mereka bagaikan adik-beradik seibu seayah. Mereka itu men­jadi abid di malam hari dan jadi singa (pejuang) di siangnya.

Abuya sedang mengajak pengikut-pengikutnya untuk sama-sama menagih janji Tuhan bahawa kebangkitan Islam yang berlaku di akhir zaman adalah di tangan-tangan para ikhwan yang diterajui Putera Bani Tamim. Proses dalaman ini berlaku dengan begitu intensif di mana pengikut-pengi­kutnya diberi ilmu, latihan, riadhah, mujahadah, berkorban dan berjuang untuk memperolehi hati ikhwan yang sangat cintakan Tuhan dan mencintai pemimpin kebenaran. Kasih sayang dan perpaduan sangat diperjuangkan.

Abuya sedang mempersiapkan hati-hati ikhwan, satu tang­gungjawab besar yang bukan boleh direka-reka atau dilakon-lakonkan, melainkan beliau dipandu oleh Rasulullah SAW dan Imam Mahdi untuk melaksanakan tugas besarnya itu. Bilangan ikhwan semuanya 500 orang. Merekalah team uta­ma bersama Imam Mahdi dalam misi kebangkitan Islam kali kedua di akhir zaman.

3. Aurad Muhammadiah

Islam adalah agama yang universal. Ia adalah satu-satunya cara hidup yang selamat dan menyelamatkan manusia di du­nia dan di Akhirat. Islam memenuhi keperluan zahir dan batin manusia. Sesiapa yang benar-benar mengambil Tuhan sebagai keperluan hidupnya lahir dan batin, ertinya dia telah beroleh taqwa dan hidup matinya untuk memperjuangkan Tuhan.
Ulama-ulama sufi telah mengatakan Islam terdiri atas em­pat perkara iaitu syariat, tarekat, hakikat dan makrifat. Ertinya dalam usaha menjadi seorang hamba yang diredhai Allah SWT, seorang manusia itu patut menempuh syariat, tarekat, hakikat dan makrifat untuk mendapat rasa kehambaan (ubudiah) yang sebenar-benarnya.

Tarekat adalah kaedah atau jalan yang sistematik untuk meng­ingati Allah (zikrullah). Bagi orang yang kenal dan cinta­kan Allah SWT, tarekat mendisiplinkan mereka untuk istiqa­mah melakukan zikrullah. Sejarah memaparkan hidup imam-imam mazhab yang empat semuanya mengamalkan tarekat. Begitu juga dengan Imam Al Ghazali.

Bahkan Islam bangkit di setiap zaman (melalui pimpinan mujaddid) adalah bersama tarekat pengiring. Tarekat tersebut ibarat ‘enjin’ bagi pejuang-pejuang kebenaran untuk melaku­kan kerja-kerja kebangkitan itu. Setelah sempurna dan selesai program kebangkitan untuk sesuatu zaman maka peranan tare­kat tersebut pun berakhir. Ertinya tarekat tersebut ‘ber­fungsi dan berperanan’ hanya untuk zaman itu yakni di tangan pemimpinnya (mujaddid). Bagi zaman lain, tarekat lain pula yang akan berperanan, yang mana ia mampu dan sesuai dengan suasana serta keperluan zaman itu dengan tokoh pe­mim­pin kebenaran yang lain.

Aurad Muhammadiah telah diamalkan oleh ratusan ribu pengamal di Malaysia, Singapura, Brunai dan lain-lain sejak 200 tahun yang lalu. Ia diwariskan dari generasi ke generasi dengan selamatnya dan telah melepasi segala halangan. Aurad Muhammadiah adalah wadah istimewa untuk Imam Mahdi, pemiliknya yang menjadi peneraju utama kebangkitan akhir zaman. Ia adalah tarekat untuk para pejuang kebenaran akhir zaman. Berzikir dengannya, pejuang-pejuang Islam akhir zaman akan dibantu Allah untuk menzahirkan sistem Islam dalam kehidupan serta mampu melepasi dari musuh-musuh yang menghalang.

Oleh kerana itulah Abuya di dalam melalui liku-liku per­juangan­nya berpuluh-puluh tahun, diberi kekuatan dan di­bantu dalam menempuh segala ujian getir dan mendahului strategi musuh. Sungguh luar biasa power Aurad Muham­madiah menautkan hati-hati para pejuang hingga jadi kuat dengan Allah dan Rasul. Tujuh ayat Al Quran dan selawat yang terkandung di dalamnya benar-benar satu formula untuk memproses jiwa dan hati-hati para pejuang kebenaran akhir zaman.

4. Imam Mahdi

Hadis-Hadis tentang Imam Mahdi dan jadual Tuhan di akhir zaman banyak yang bersifat ‘kod-kod rahsia’ yang Allah dan Rasul sendiri sifatkan. Maka untuk memahaminya mestilah seseorang yang diberi faham sendiri oleh Allah dan Rasul secara ilham.

Imam Mahdi dan Putera Bani Tamim sebagai pelaksana kebangkitan akhir zaman, diberi ilham untuk menambah faham erti keseluruhan pakej Hadis akhir zaman itu. Selain mereka, sekalipun para ulama, sekalipun Yahudi, mereka tidak tahu secara pasti bentuk atau format sebenarnya tentang bagai­mana berlakunya kebangkitan itu. Ini kerana maksud asal Hadis-Hadis itu terlalu umum dan kabur.

Abuya telah mengkaji jadual Tuhan untuk akhir zaman ini, khususnya tentang Imam Mahdi selama lebih 50 tahun. Menurut Abuya, dia memang diberi faham oleh Allah tentang konsep, teknik dan hala tuju perjuangan akhir zaman, bagai­mana ia bermula sampailah ke akhirnya. Kefahaman itu sudah diuji dalam tindakan dan sudah pun berhasil sehingga Abuya amat yakin bahawa kefahaman yang didapatkan dari masa ke semasa itu memang satu kebenaran.

Berikut ialah apa yang Abuya faham tentang Imam Mahdi dan perjuangannya dengan merujuk kepada Hadis-Hadis akhir zaman serta ilham yang Abuya dapat dari masa ke semasa, sejak 40 tahun yang lalu:

i. Imam Mahdi adalah seorang lelaki yang masih hidup dan sedang dighaibkan Allah. Dia akan zahir ke dunia nyata pada waktu yang Allah kehendaki untuk melakukan kebangkitan Islam.

ii. Di hari kezahirannya, iaitu hari Jumaat bulan haji, ketika khatib sedang membaca khutbah di mimbar Masjidil Haram di Mekah, hidung khatib tersebut berdarah kerana cuaca terlalu panas. Maka khatib itu turun dari mimbar dan digantikan oleh khatib kedua. Hal yang sama ber­ulang sehingga khatib yang keenam. Khatib yang ketujuh tidak berdarah hidungnya maka dia menjadi imam sembahyang Jumaat pada hari itu di Mekah. Itulah dia Imam Mahdi yang dizahirkan buat pertama kali setelah dighaibkan Tuhan selama lebih 80 tahun.

iii. Nama Imam Mahdi ialah Muhammad bin Abdullah, ibu­nya Aminah, keturunan Bani Hasyim iaitu Arab Quraisy dan merupakan ahlul bait.

iv. Imam Mahdi akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas ter­jadinya daulah Islamiah di Malaysia iaitu sekitar 3 hingga 4 tahun lagi.

v. Dari Mekah, dia akan ke Malaysia untuk menerima se­rah­an kuasa dari Putera Bani Tamim. Hal ini berlaku sete­lah 6 bulan kezahirannya di mimbar Masjidil Haram itu.

vi. Dalam tempoh 6 bulan itu, Imam Mahdi belum isytihar diri­nya. Dia hanya berhubungan dengan para wazirnya untuk melengkapkan persiapan sebelum pengisytiharan. Namun umat Islam yang sudah tahu tentang keber­ada­annya mahu berbaiah padanya. Mereka disyaratkan untuk berbaiah terlebih dahulu dengan Putera Bani Tamim yang berada di Malaysia.

vii. Program penyerahan kuasa berlangsung hanya satu ma­lam, sebab kerja-kerja menyiapkannya sudah dibuat oleh Putera Bani Tamim selama 40 tahun. Imam Mahdi haki­kat­nya telah memimpin kerja-kerja itu dari balik tabir.

viii. Dengan kuasa daulah yang ada, dengan sistem peme­rintahan khalifah yang sudah wujud dan dengan penga­ruh yang sudah bertaraf dunia, Imam Mahdi akan memu­la­kan operasi memerangi Amerika (Sufyani). Beliau akan me­nang dan dapat menguasai dunia.

ix. Imam Mahdi memerintah dunia selama lebih kurang tujuh ta­hun. Bila dajjal datang, Nabi Isa turun untuk mem­bu­nuh­nya. Nabi Isa akan membenarkan Imam Mah­di, hasilnya seluruh penghuni dunia akan jadi pengikut Imam Mahdi.

Begitulah kefahaman Abuya tentang Imam Mahdi dan jadual yang akan terjadi. Abuya bukan sahaja mempro­mo­si­kan Imam Mahdi bahkan Abuya sedang mempersiapkan jemaahnya dan team perjuangannya untuk diserahkan kepada Imam Mahdi.

5. Malaysia negara Islam
Abuya melihat, apa yang sedang berlaku di Malaysia tanah air tercinta ialah satu proses biasa dan luar biasa untuk me­nuju kepada negara Islam.

Di Malaysia, insya-Allah akan terjadi perubahan besar se­cara aman damai. Malaysia akan jadi lebih indah dari apa yang ada sekarang. Ia bagaikan Mekah dan Madinah di bawah pemerintahan Rasulullah SAW.

Di antara perubahan-perubahan yang akan terjadi dan sangat menonjol itu, insya-Allah ialah suasana aman di mana penduduk beragama Islam saling berkasih sayang. Manakala dengan yang bukan Islam, mereka akan berbaik-baik. Tidak ada krisis dan pergaduhan dalam negara yang diberkati dan diampunkan Allah itu. Kerana keamanan yang luar biasa itu juga, Malaysia akan jadi tumpuan lawatan bangsa-bangsa asing dari seluruh dunia.

Maksiat dan kemungkaran pula akan terbasmi dengan sendirinya. Penutupan aurat dan pengasingan lelaki dan pe­rem­puan terserlah di mana-mana. Muda-mudi umumnya cenderung menuju taqwa. Kehidupan pemimpin-pemimpin tidak berbeza dengan kehidupan rakyat jelata. Kerana contoh masyarakat Islam ada di Malaysia, orang lebih suka ke Malay­sia dari ke Mekah untuk melihat realiti masyarakat Islam.

Negara-negara lain akan tertarik untuk mengadakan hu­bungan ekonomi dengan Malaysia. Rezeki di negara yang diberkati ini melimpah ruah dari langit dan bumi. Asas kemak­muran itu adalah kasih sayang. Mereka yang berkunjung ke Malaysia akan menjadi duta tidak rasmi yang akan membawa pulang cerita dan berita tentang negara ini ke negara masing-masing. Negara-negara jiran juga suka berbaik-baik dengan Malaysia bahkan mencontohi Malaysia dalam banyak perkara.

Abuya bukan bermimpi atau berangan-angan. Ini adalah ke­yakinan Abuya kerana beliau sangat yakin dengan janji Allah. Bahkan Abuya sebenarnya dimonitor oleh Rasulullah untuk menelusuri jadual Tuhan ini hingga beroleh keme­nangan. Sudah tentu apa yang ditulis ini akan jadi kontroversi kepada orang yang tidak senang dengan kebenaran. Namun Abuya bukan melulu. Siapa yang meneliti dan bersih hati, rasanya tidak terlalu susah untuk memahami sikap Abuya. Lagipun sebelum ini sudah banyak apa yang Abuya perkata­kan sudah terjadi satu persatu dengan izin Allah.